Showing posts with label TIPS BERJIMAT CERMAT. Show all posts
Showing posts with label TIPS BERJIMAT CERMAT. Show all posts

Tuesday, March 11, 2014

TIPS BERJIMAT UNTUK PELAJAR UNIVERSITY


Menjadi seorang pelajar kampus sudah tentunya bukan tugas mudah. Selain mengulang kaji pelajaran dan menyiapkan tugasan, anda juga perlu menguruskan wang agar dapat menjalani hidup sebagai seorang pelajar dengan aman dan tenang. Sekiranya gagal menguruskan wang dengan bijak, ia boleh menganggu tumpuan dan seterusnya memberi kesan kepada pembelajaran anda.



Sebenarnya, pengurusan kewangan yang baik boleh dimulakan hanya dengan mempraktikkan teknik-teknik mudah menyimpan wang. Securities Industry Development Corporation (SIDC), cabang pendidikan dan pembangunan bagi Suruhanjaya Sekuriti, Malaysia ingin berkongsi 10 panduan berjimat cermat untuk pelajar kampus. Setelah selesai membaca artikel ini, anda boleh mempraktikkan panduan-panduan yang diberi dan mengaplikasikannya mengikut keadaan kewangan anda selaku seorang pelajar.


Panduan 1: Amalkan Peraturan 10 Peratus 

Secara amnya, Peraturan 10% bermakna anda perlu menyimpan 10% daripada wang yang anda miliki setiap bulan. Contohnya, jika anda mempunyai RM500 setiap bulan, simpanlah RM50. Apabila menerima duit pinjaman PTPTN, MARA, biasiswa atau elaun daripada ibubapa setiap bulan, pastikan anda menyimpan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada jumlah yang diperolehi. Wang ini boleh dijadikan simpanan dan pelaburan anda pada masa depan. Amalan ini juga akan mendidik anda untuk menjadi lebih konsisten dan berdisiplin dalam menyimpan wang pada masa akan datang.


Panduan 2: Wujudkan Dana Kecemasan

Sebagai pelajar, ada masanya akan berhadapan dengan kejadian yang tidak dijangka dan ianya memerlukan perbelanjaan yang banyak. Sebagai contoh, anda boleh jatuh sakit dan perlu dibawa ke hospital, kenderaan atau komputer mungkin rosak dan perlu diperbaiki, serta isu-isu kewangan yang lain. Sekiranya anda tidak mempunyai dana kecemasan, anda pasti akan berdepan dengan pelbagai masalah. Namun, dengan adanya dana kecemasan, anda tidak perlu runsing dan berhutang dengan orang lain kerana anda mempunyai wang simpanan sendiri. Tetapi ingat: Dana kecemasan harus digunakan untuk KECEMASAN SAHAJA!


Panduan 3: Amalkan tabiat melabur

Menyimpan wang adalah tabiat yang baik tetapi anda perlu melaburkan duit tersebut agar mendapat pulangan yang lebih. Amalkan tabiat melabur secepat yang mungkin supaya anda boleh mendapat pulangan yang maksimum daripada pelaburan. Rebutlah peluang daripada kuasa pengkompaunan dengan melaburkan wang anda dalam produk pelaburan yang sesuai. Sebelum memulakan pelaburan, lakukanlah kaji selidik yang mencukupi dengan membaca prospektus, laporan kewangan dan laporan tahunan, majalah perniagaan dan lain-lain. Dalam memilih produk pelaburan yang paling sesuai dengan tahap risiko, matlamat kewangan dan bajet yang ada,anda perlu mengenali sedikit sebanyak tentang konsep pelaburan.


Panduan 4: Buat perbandingan harga semasa membeli-belah

Dengan membandingkan harga dan mencari tawaran yang terbaik, anda mampu menjimatkan wang setiap kali membeli-belah. Membandingkan harga juga mengajar kita untuk menjadi lebih berhati-hati dan bersabar semasa membeli barang. Sebagai seorang pembeli yang bersabar dan berhati-hati, anda tidak akan terdorong oleh nafsu ketika membeli, malah akan sentiasa berusaha mendapatkan nilai yang terbaik untuk wang anda!


Panduan 5: Potong kad kredit anda

Kajian yang dilakukan Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati bahawa 50% rakyat Malaysia yang diisytiharkan muflis berusia 30 tahun ke bawah. Statistik ini antara lain menggambarkan bahawa pelajar kolej dan golongan dewasa yang baru mula bekerja mewakili 50% daripada rakyat Malaysia yang diisytiharkan bankrap. Tidak kiralah jika anda memilki kad kredit sendiri atau diberi kad kredit oleh ibubapa, tanyalah diri sendiri: “Perlukah saya memiliki kad kredit?” Ingat! Jadilah pengguna kad kredit yang bertanggungjawab kerana anda (atau ibubapa anda) yang perlu membayar hutangnya nanti!


Panduan 6: Kurangkan bil elektrik anda

Sedar atau tidak, tidak ramai yang mengambil berat isu penggunaan elektrik. Memasang lampu walaupun tiada orang di rumah merupakan suatu perkara lazim yang dipandang remeh walaupun ia merupakan satu pembaziran. Sebenarnya,apabila anda menjimat elektrik, anda juga menjimatkan wang. Antara perkara yang boleh dipraktikkan ialah mengekalkan kelajuan kipas pada tahap sederhana, menggunakan lampu jenis jimat tenaga, serta mengurangkan tahap kecerahan skrin komputer.


Panduan 7: Jadilah pelajar yang bijak

Sebagai pelajar yang bijak dalam pelajaran, anda juga perlu bijak berbelanja. Cetak tugasan anda di kedua-dua belah muka surat kertas, beli isian semula mesin pencetak dan bukannya kartrij pencetak, pinjam buku rujukan daripada pelajar senior/rakan/perpustakaan, sewa rumah bersama kawan-kawan dan makanlah di kampus. Secara amnya, perkhidmatan dan kemudahan di kampus seperti sewa asrama, fotokopi dan lain-lain adalah lebih murah, jadi ambillah kesempatan ini! Lebih elok lagi, kumpulkan kawan-kawan anda dan carilah peluang mendapatkan diskaun apabila membeli barang (buku, alat tulis, dll) secara pukal di kampus.


Panduan 8: Gunakan kad pelajar anda

Kad pelajar adalah salah satu instrumen yang sangat membantu dalam usaha anda menyimpan wang. Anda boleh menggunakannya untuk mendapat diskaun ketika menonton wayang, membeli buku, menaiki LRT, melayari Internet, bercuti, makan, bersukan dan sebagainya. Bayangkan penjimatan yang anda dapat!


Panduan 9: Gunakan pengangkutan awam

Menggunakan pengangkutan awam biasanya melibatkan kos yang lebih rendah berbanding memandu kereta. Jika kurang minat menaiki pengangkutan awam, kongsi kereta bersama rakan-rakan! Fikirkan juga tentang membeli motosikal atau basikal supaya boleh menjimatkan wang untuk petrol. Sentiasa merancang perjalanan mengikut jadual dan keperluan sahaja. Sebagai contoh, jika destinasi yang dituju tidak jauh dan cuaca mengizinkan, apa salahnya jika berjalan kaki berbanding memandu kereta?


Panduan 10: Gunakan Internet untuk membuat panggilan

Daripada menghabiskan wang untuk menambah nilai telefon bimbit, apa kata anda membuat panggilan melalui Internet? Anda bukan sahaja dapat berbual sepuas-puasnya, malah tidak perlu membayar walau sesen pun (jika mengunjungi “wi-fi hotspot” percuma). Sekiranya terdesak atau terpaksa menggunakan telefon bimbit, jangan lupa bahawa lebih murah untuk menghantar mesej (SMS) berbanding membuat panggilan.


Kesimpulannya, kehidupan di kolej atau universiti bukanlah sekadar mentelaah pelajaran semata-mata. Selaku pelajar, anda juga akan menerokai pelbagai aspek kehidupan dan akan menempuhi pelbagai pengalaman yang mampu mencorak kehidupan anda kelak.Anda semestinya tidak mahu masalah-masalah berkaitan wang menjadi isu yang membebankan anda di kampus. Dengan mempraktikkan “10 Panduan” yang telah diberikan, anda sepatutnya boleh menikmati kehidupan kampus yang bebas daripada tekanan, seronok, dan mengujakan!

Kredit:http://www.min.com.my

Thursday, February 27, 2014

PANDUAN UNTUK BERJIMAT



Berikut adalah beberapa tip untuk berjimat cermat dalam urusan kewangan keluarga untuk dijadikan panduan kita bersama:


Tip 1: Sediakan bajet kewangan keluarga

Ukurlah baju di badan sendiri. Elakkan berbelanja di luar kemampuan. Melalui bajet kewangan, perbelanjaan dapat dikawal. Utamakan yang utama bagi keperluan keluarga.

Tip 2: Merancang kewangan untuk masa depan

Sediakan payung sebelum hujan. Wujudkan simpanan tetap atau tabungan untuk masa depan atau kecemasan. Boleh juga membuat simpanan dalam skim takaful yang memberikan manfaat perlindungan yang tidak kita dapati dengan simpanan biasa. Bagi mereka yang berminat dengan amanah saham, pilihlah yang terbaik untuk membuat pelaburan.

Tip 3: Masak sendiri

Kurangkan makan di kedai. Ini lebih jimat, terutama bagi keluarga yang ramai. Air tangan ibu atau isteri akan mengikat kasih sayang antara keluarga serta lebih terjaga kebersihannya. Secara tak langsung keluarga yang sihat akan mengurangkan kos perubatan yang tidak kurang mahalnya.

Tip 4: Bawa bekal ke pejabat atau sekolah

Jangan malu untuk membawa bekal ke pejabat. Malahan anak-anak juga perlu diajar membawa bekal ke sekolah. Dengan cara ini kita dapat berjimat paling kurang RM3 sehari. Duit yang dijimatkan ini boleh dijadikan simpanan untuk masa hadapan dan kecemasan.

Tip 5: Elakkan memandu kenderaan sendiri

Walaupun harga minyak telah turun namun amalan berjimat akan sentiasa menguntungkan kita. Gunakan kenderaan awam seperti bas, komuter atau LRT sebagai alternatif. Atau boleh juga berkongsi kereta dengan rakan sepejabat.

Tip 6: Jimatkan penggunaan air, elektrik dan gas

Keluarga perlu dididik untuk menghargai nikmat ini dan elakkan dari pembaziran. Tutup peralatan elektrik di ruang yang tidak digunakan. Berpada-pada menggunakan pendingin udara, begitu juga air di bilik mandi ketika mandi atau mencuci.

Tip 7: Tanam sendiri sayur-sayuran

Serai, kunyit, daun pandan dan daun kari mudah untuk ditanam. Bagi yang tidak mempunyai tanah dan ruang masih boleh menanamnya di dalam pasu. Begitu juga sayuran seperti sawi, kangkung, cili malahan pisang juga tidak susah untuk ditanam. Mengamalkan cara ini akan dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga dari perlu membeli sayur-sayuran yang telah ditanam seterusnya dapat mengisi masa lapang bersama keluarga.

Tip 8: Elakkan membawa anak-anak ketika membeli belah

Ini satu langkah yang baik, kerana kehadiran anak-anak biasanya mendorong kita membeli barang-barang yang tidak sepatutnya dibeli. Seelok-eloknya senaraikan barang-barang yang ingin dibeli terlebih dahulu sebelum keluar membeli belah. Cara ini dapat menjimatkan masa dan juga menggelakkan tabiat boros berbelanja.

Tip 9: Beli secara pukal

Ini jauh lebih murah berbanding jika kita membeli secara sedikit demi sedikit. Begitu juga dengan saiznya. Beli barang-barang sama ada untuk stok seminggu atau sebulan. Ini akan menjimatkan wang dan masa.

Tip 10: Lakukan perbandingan harga dahulu

Amalan ini adalah penting kerana kadang kala terdapat perbezaan harga di antara kedai, lain tempat lain harga walaupun barang yang dijual adalah sama dari segi jenis dan kualitinya. Amalan ini membantu juga untuk berjimat.

Tip 11: Kurangkan pembelian barangan berjenama

Dalam situasi ekonomi yang merosot kini, kita tidak perlu terlalu berkira tentang jenama barangan yang ingin dibeli. Jika barangan tersebut mempunyai kualiti yang baik setanding dengan barangan berjenama, kita sebagai pengguna harus bijak memilihnya.


Tuesday, February 25, 2014

TIPS RINGKAS UNTUK BERJIMAT CERMAT


Tips ringkas untuk berjimat cermat dalam mengukuh dan menjaga ekonomi rumah tangga:

  • Berbelanja dengan wang tunai berbanding dengan kad kredit. Elakkan terus penggunaan kad kredit jika tidak perlu.
  • Tetapkan kos bulanan untuk belanja keperluan rumah dan haruslah berdisiplin dengan ketetapan tersebut. 
  • Beli barang keperluan secara pukal untuk mengurangkan kos pengangkutan, bayaran parkir kereta dan yang paling baik boleh menjimatkan masa.
  • Membuat perbandingan harga antara pasaraya atau peniaga dan catatkan untuk panduan masa hadapan.
  • Membuat kerja-kerja sampingan untuk menambah pendapatan keluarga.
  • Berkongsi kereta ke tempat kerja jika sehaluan atau menggunakan pengangkutan awam jika lebih menjimatkan kos dan masa.
  • Membiasakan diri menyimpan rekod-rekod perbelanjaan, seperti bil atau resit untuk rujukan pada masa depan. Catatkan satu nota lengkap dengan kedai, harga barangan untuk membuat perbandingan.
  • Pastikan suis elektrik dan paip air ditutup sebelum meninggalkan rumah. Masak ikut keperluan sahaja supaya tidak membazir.
  • Melatih diri untuk menabung dan secara tidak langsung dapat melatih anak-anak untuk menabung.
  • Belajar membezakan keperluan dan kehendak supaya tidak terlalu mengikut hawa nafsu yang kadangkala merugikan sahaja.
  • Buat senarai barang-barang yang hendak dibeli untuk mengelakkan kita dari lupa dan berbelanja mengikut bajet yang telah ditetapkan.
  • Pastikan perut kenyang sebelum keluar rumah boleh mengurangkan keinginan untuk membeli barang.
  • Membeli belah pada waktu santai. Elakkan membeli ketika anda sibuk dan boleh menyebabkan kurang fokus sehingga barang yang sepatutnya dibeli tidak dibeli.
  • Simpan baki makanan di dalam peti ais bagi mengelakkan ia rosak dan boleh bertahan lama jika disimpan dengan baik.
  • Menyediakan menu untuk seminggu supaya kita boleh merancang barang-barang mentah yang hendak dibeli.

LinkWithin