Berikut adalah beberapa tip untuk berjimat cermat dalam urusan kewangan keluarga untuk dijadikan panduan kita bersama:
Tip 1: Sediakan bajet kewangan keluarga
Ukurlah baju di badan sendiri. Elakkan berbelanja di luar kemampuan. Melalui bajet kewangan, perbelanjaan dapat dikawal. Utamakan yang utama bagi keperluan keluarga.
Tip 2: Merancang kewangan untuk masa depan
Sediakan payung sebelum hujan. Wujudkan simpanan tetap atau tabungan untuk masa depan atau kecemasan. Boleh juga membuat simpanan dalam skim takaful yang memberikan manfaat perlindungan yang tidak kita dapati dengan simpanan biasa. Bagi mereka yang berminat dengan amanah saham, pilihlah yang terbaik untuk membuat pelaburan.
Tip 3: Masak sendiri
Kurangkan makan di kedai. Ini lebih jimat, terutama bagi keluarga yang ramai. Air tangan ibu atau isteri akan mengikat kasih sayang antara keluarga serta lebih terjaga kebersihannya. Secara tak langsung keluarga yang sihat akan mengurangkan kos perubatan yang tidak kurang mahalnya.
Tip 4: Bawa bekal ke pejabat atau sekolah
Jangan malu untuk membawa bekal ke pejabat. Malahan anak-anak juga perlu diajar membawa bekal ke sekolah. Dengan cara ini kita dapat berjimat paling kurang RM3 sehari. Duit yang dijimatkan ini boleh dijadikan simpanan untuk masa hadapan dan kecemasan.
Tip 5: Elakkan memandu kenderaan sendiri
Walaupun harga minyak telah turun namun amalan berjimat akan sentiasa menguntungkan kita. Gunakan kenderaan awam seperti bas, komuter atau LRT sebagai alternatif. Atau boleh juga berkongsi kereta dengan rakan sepejabat.
Tip 6: Jimatkan penggunaan air, elektrik dan gas
Keluarga perlu dididik untuk menghargai nikmat ini dan elakkan dari pembaziran. Tutup peralatan elektrik di ruang yang tidak digunakan. Berpada-pada menggunakan pendingin udara, begitu juga air di bilik mandi ketika mandi atau mencuci.
Tip 7: Tanam sendiri sayur-sayuran
Serai, kunyit, daun pandan dan daun kari mudah untuk ditanam. Bagi yang tidak mempunyai tanah dan ruang masih boleh menanamnya di dalam pasu. Begitu juga sayuran seperti sawi, kangkung, cili malahan pisang juga tidak susah untuk ditanam. Mengamalkan cara ini akan dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga dari perlu membeli sayur-sayuran yang telah ditanam seterusnya dapat mengisi masa lapang bersama keluarga.
Tip 8: Elakkan membawa anak-anak ketika membeli belah
Ini satu langkah yang baik, kerana kehadiran anak-anak biasanya mendorong kita membeli barang-barang yang tidak sepatutnya dibeli. Seelok-eloknya senaraikan barang-barang yang ingin dibeli terlebih dahulu sebelum keluar membeli belah. Cara ini dapat menjimatkan masa dan juga menggelakkan tabiat boros berbelanja.
Tip 9: Beli secara pukal
Ini jauh lebih murah berbanding jika kita membeli secara sedikit demi sedikit. Begitu juga dengan saiznya. Beli barang-barang sama ada untuk stok seminggu atau sebulan. Ini akan menjimatkan wang dan masa.
Tip 10: Lakukan perbandingan harga dahulu
Amalan ini adalah penting kerana kadang kala terdapat perbezaan harga di antara kedai, lain tempat lain harga walaupun barang yang dijual adalah sama dari segi jenis dan kualitinya. Amalan ini membantu juga untuk berjimat.
Tip 11: Kurangkan pembelian barangan berjenama
Dalam situasi ekonomi yang merosot kini, kita tidak perlu terlalu berkira tentang jenama barangan yang ingin dibeli. Jika barangan tersebut mempunyai kualiti yang baik setanding dengan barangan berjenama, kita sebagai pengguna harus bijak memilihnya.
No comments:
Post a Comment
Anda Suka Dengan Article Ini!
Apa Lagi Kongsikanlah Bersama Rakan-Rakan Anda
Di Email, Twitter, Facebook, Google +G !
Jangan Lupa Ya :P