Showing posts with label PERNIAGAAN. Show all posts
Showing posts with label PERNIAGAAN. Show all posts

Monday, March 3, 2014

PANDUAN UNTUK MEMULAKAN PERNIAGAAN


Satu lagi cara untuk memulakan perniagaan ialah dengan mengambil alih atau bergabung. Ia bermaksud sebuah perniagaan yang sedang maju membeli atau bergabung dengan sebuah perniagaan yang lain dan mengambil alih pengurusannya. Di sini perkembangan perniagaan berlaku dengan cepat, di bawah saya senaraikan panduan untuk memulakan perniagaan.




Faktor-faktor Yang Dipertimbangkan Apabila Memulakan Perniagaan 

Modal


Usahawan mesti mempunyai modal yang cukup untuk memulakan dan menjalankan perniagaan. Jumlah modal yang diperlukan bergantung kepada saiz dan jenis perniagaan, lokasi perniagaan, dan jumlah kredit yang hendak diberikan kepada para pelanggan.

Modal boleh datang daripada simpanan sendiri atau pinjaman daripada sahabat handai atau sanak saudara ataupun dari bank. Bagi mendapatkan pinjaman bank, satu kertas kerja perlu disediakan untuk meyakinkan pihak bank tentang kemampuan membayar balik pinjaman.


Lokasi (Tempat Perniagaan)

Usahawan mesti bijak memilih lokasi yang strategik atau sesuai bagi menjamin kejayaan perniagaan. Perniagaan harus diletakkan di tempat yang mempunyai daya kuasa beli yang tinggi dan kurang persaingan.

Pemilihan lokasi juga boleh dipengaruhi oleh faktor-faktor lain seperti modal, kos sewa, persaingan, kemudahan infrastruktur, undang-undang dan lain-lain.
Minat, pengetahuan dan pengalaman

Usahawan mesti mempunyai minat dalam perniagaan. Minat itu mestilah berkekalan dan bukan sekadar sementara waktu sahaja. Jika tidak, perniagaannya susah untuk dijalankan.
Usahawan juga perlu mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam bidang perniagaan yang akan diceburinya. Contohnya, jika dia hendak membuka kedai pakaian, dia mesti tahu dari mana untuk mendapatkan stok pakaian itu.

Usahawan juga harus memperoleh pengetahuan dan pengalaman mengenai selok-belok pengurusan, mengurus wang, stok, masa, melayan pelanggan, menyimpan rekod dan akaun- serta lain-lain lagi. 

Pengalaman boleh diperoleh dengan cara bekerja, sebagai pembantu dalam bidang perniagaan yang berkenaan.

Pengetahuan boleh diperoleh dengan belajar di sekolah, maktab atau universiti, membaca buku-buku yang berkenaan, mengikut kursus perniagaan, bertanya, berbincang dan memerhati peniaga-peniaga lain menjalankan perniagaan mereka. 


Jenis dan saiz perniagaan

Usahawan mesti menentukan jenis dan saiz perniagaan yang hendak dijalankan. Jenis perniagaan hendaklah bersesuaian dengan kebolehan, pengetahuan dan pengalamannya.

Saiz perniagaan hendaklah juga bersesuaian dengan modal yang ada, kebolehan, pengalaman dan pengetahuan untuk mengawal dan mengurus perniagaan itu. Saiz perniagaan yang kecil mudah dimulakan serta diurus. Perniagaan secara besar-besaran memerlukan modal yang besar dan tidak begitu mudah dikendalikan.


Persaingan

Usahawan juga mesti memikirkan tentang persaingan yang akan dihadapinya. Kajian perlu dibuat untuk mengenal pasti pesaing-pesaing, bilangannya, saiz perniagaan mereka, kekuatan dan kelemahan mereka dan sambutan para pelanggan terhadap perniagaan mereka.

Membuka perniagaan di tempat yang banyak mempunyai persaingan tentu tidak akan dapat menarik ramai pelanggan pada mulanya. Tetapi jika usahawan dapat memberi layanan yang lebih baik, pelbagai pilihan barang, harga yang berpatutan dan perkhidmatan selepas jualan yang memuaskan banyak pelanggan akan tertarik untuk kekedainya.

Bagaimanapun usahawan perlu mengadakan rancangan dan ikhtiar yang rapi dan bernas untuk mengatasi para pesaing.


Undang-undang dan peraturan

Usahawan mesti mengetahui undang-undang, peraturan-peraturan serta akta-akta yang mengawal perjalanan perniagaan dalam negara kita agar tidak melanggar undang-undang, peraturan, atau akta yang boleh menghalang perjalanan perniagaan.

Pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Tempatan, Majlis Bandaran atau Dewan Bandar Raya telah menetapkan jenis-jenis perniagaan yang boleh dijalankan di kawasan-kawasan tertentu serta jenis lesen yang diperlukan. Usahawan mestilah mengikut peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Di samping itu, semua perniagaan mesti didaftarkan dengan pihak-pihak tertentu kecuali penjaja bergerai yanng hanya perlu mendapatkan lesen menjaja daripada pihak berkuasa tempatan.

Usahawan juga mesti mematuhi berbagi-bagai akta seperti Akta Perihal Dagangan, Akta Kawalan Harga, Akta Kawalan Bekalan dan lain-lain.


Sumber bekalan

Usahawan perlu mengetahui tempat-tempat di mana ia mendapat bekalan barang-barang dengan seberapa murah dan mudah. Usahawan harus tahu pembekal mana yang dapat menawarkan diskaun dan kredit yang lebih baik. 


Memulakan Sendiri

Seseorang boleh memulakan perniagaan sendiri jika ia mempunyai keyakinan dan kebolehan tentu ia akan berjaya. Untuk memulakan perniagaan sendiri, ia hanya perlu memastikan kewujudan perkara-perkara berikut :-


Pengalaman dan pengetahuan

Modal yang mencukupi
Punca bekalannya
Peraturan dan undang-undang tempatan
Jenis perniagaan yang ingin dijalankan
Lokasi perniagaan

Ramai pelanggan dan usahawan yang berjaya pada hari ini telah memulakan kegiatan perniagaan dengan sendiri.


Ambil Alih 

Apabila seseorang peniaga mengambil alih atau bergabung dengan sesuatu perniagaan, ia seharusnya menggunakan pengalaman dan pengetahuannya untuk :-
merundingkan harga yang terbaik

mendapatkan syarat-syarat bergabung atau ambil alih yang baik dari penjual.
Faktor-faktor yang dipertimbangkan apabila mengambil alih perniagaan :-



Kewangan perniagaan

Pada asasnya proses mengambil alih perniagaan lain perlulah mengambil kira langkah-langkah seperti membuat kajian awal untuk menilai kedudukan kewangan dan kadar keuntungan di samping meneliti dan memeriksa setiap butir kewangan yang disediakan oleh pemilik. Ia bertujuan memastikan kewangan perniagaan yang diambil adalah kukuh. Kajian juga termasuk mengkaji aset perniagaan yang ada seperti premis, lengkapan dan perabot agar mempunyai nilai semasa yang baik. Di samping itu, liabiliti perniagaan seperti pinjaman dan pemiutang juga perlu diketahui agar tidak menanggung beban hutang yang tinggi.




Faedah yang dinikmati

Kajian tentang kelebihan-kelebihan yang boleh didapati jika mengambil alih perniagaan tersebut juga perlu diambilkira, umpamanya dapat memiliki teknologi dan kepakaran yang ada. Begitu juga dengan aset seperti tanah dan bangunan yang boleh dimajukan untuk perkembangan masa hadapan. Bahagian pasaran yang telah dikuasai turut dinikmati dan pelanggan perniagaan dapat dikuasai. 


Masalah yang dihadapi

Masalah-masalah yang dihadapi oleh perniagaan tersebut yang menyebabkan pemiliknya ingin menjualnya juga harus diambilkira untuk dikaji. Ini bertujuan supaya kita dapat menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi dan menjadikannya sebuah perniagaan yang menguntungkan. Contohnya, jika perniagaan tersebut menghadapi persaingan yang hebat, kenalpasti pesaing tersebut dan kaji kelemahan yang ada untuk mengatasi persaingan.


Potensi berkembang

Masa hadapan perniagaan tersebut hendaklah dikaji samada ianya berpotensi untuk berkembang maju lagi. Kajian masa hadapan ini boleh dilakukan dengan melihat statistik-statistik serta keadaan pasaran semasa. Umpamanya, perkhidmatan bas mini di kawasan Shah Alam diadakan berdasarkan kepada banyaknya kawasan perumahan dan perindustrian yang telah didirikan di mana terdapatnya banyak permintaan untuk perkhidmatan tersebut. Beberapa tahun yang lepas ia tidak diadakan kerana perkembangan dan pembangunan kawasan tersebut masih dalam perancangan.


Persaingan yang akan dihadapi

Persaingan yang akan dihadapi juga diambil kira. Buat kajian dan kenalpasti pesaing yang wujud. Kaji kelemahan dan kekuatan pesaing tersebut supaya kita boleh mengatur rancangan atau strategi untuk mengatasinya. Contohnya, jika pesaing mempunyai kepakaran tertentu,cuba pelajari kepakaran tersebut atau dapatkan kepakaran orang lain sebagai rakan kongsi atau diambil sebagai rakan kongsi atau diambil bekerja.


Minat dan kecenderungan yang ada

Minat dan kecenderungan semula jadi perlu ada apabila ingin mengambil alih perniagaan. Tanpa minat dan kecenderungan ini, sudah tentu apa yang dilakukan nanti tidak sampai ketahap yang dikehendaki. Minat dan kecenderungan merupakan asas bagi memulakan sesuatu perniagaan, oleh itu pastikan ianya wujud di hati kita.


Warisan

Ada juga perniagaan yang diwarisi daripada ibubapa, nenek moyangnya, atau warisan keluarga. Jenis perniagaan ini biasanya kukuh dan telah lama wujud dalam perniagaan.


Diundang 

Diundang bermaksud perniagaan yang kekal dan sudah wujud mengundang seseorang @ sesebuah syarikat untuk menjadi rakan kongsi @ bergabung dengan syarikat induk. Individu @ syarikat ini diundang kerana potensi yang ada padanya dan prestasi individu tersebut @ syarikat tersebut amat baik.

Tuesday, October 8, 2013

7 PANDUAN MUDAH UNTUK MEMULAKAN PERNIAGAAN



  • Mengkaji tentang suasana dan kedudukan
Kita perlu mengkaji tentang latar dan faktor kedudukan tempat baru itu. Jika ia merupakan kawasan yang didiami pelajar dan pekerja, membuka kedai dobi adalah cadangan yang baik. Kerana golongan seperti ini lebih cenderung untuk menghantar pakaian yang kotor kedai dobi dari dicuci sendiri. Jangan pula di kawasan seperti itu kita mulakan dengan perniagaan besi buruk dan barang kitar semula. Selain itu, kawasan seperti ini juga sesuai dibuka perniagaan makanan dan minuman. Kerana pelajar dan pekerja sentiasa memerlukan tenaga untuk pergi belajar dan pergi bekerja. Katakan juga keinginan untuk memulakan kedai alat tulis dan perkhidmatan potostet di kawasan yang sama. Pendek kata, sesuatu kawasan itu perlu dikaji terlebih dahulu sebelum memulakan perniagaan. 

  • Mencari rakan kongsi yang boleh dipercayai
Tips yang seterusnya adalah mencari rakan kongsi yang boleh dipercayai. Bukan sekadar seorang yang mempunyai wang untuk dilaburkan sahaja. Setidak-tidaknya minat dan hobi pada benda yang sama akan menampakkan lagi usaha yang dijalankan. Kerana manusia tidak akan jemu dan bosan melakukan sesuatu yang menjadi kegemaran mereka. Katakan Yusri dan Lisa mempunyai minat yang sama dalam bidang penerbitan dan periklanan. Jadi, mereka telah bersetuju dan melaburkan sejumlah wang untuk memulakan perniagaan ini di sebuah kawasan yang menjadi tumpuan. Kerana minta dan pendapat dalam bidang yang sama sangat tinggi, perniagaan mereka semakin maju. Kerana masing-masing memberi komitmen yang baik dalam perniagaan ini. Bukan hanya seorang sahaja yang perlu bekerja, sebaliknya kedua-dua belah pihak rakan kongsi ini. Pendek kata, perniagaan mereka maju kerana minat dan hobi dalam bidang yang sama.

  • Bermula secara kecil-kecilan
Tidak semua perniagaan itu perlu diusahakan secara besar-besaran yang menelan belanja sehingga jutaan ringgit. Sekadar sebagai hobi dan minat untuk memenuhi masa dan boleh dijadikan sebagai pendatan sambilan sudah memadai. Contohnya Pak Abas yang menjalankan perniagaan menjual kerepek di kampungnya. Perniagaan ini adalah perniagaan warisan daripada ayahnya dahulu. Jadi, Pak Abas membantu ayahnya yang telah tua kerana sudah tidak mampu melakukan pekerjaan berat lagi. Semakin lama, minatnya telah mendalam dalam dunia perniagaan dan dia menguruskan sepenuhnya perniagaan ini selepas kematian ayahnya. Pada awal penglibatan dalam dunia penjualan kerepek, arwah ayah Pak Abas berniaga dengan menaiki motorsikal sahaja. Selepas Pak Abas mengambil alih, dia telah membuat pinjaman dengan bank untuk mendirikan sebuah kilang pembuatan kerepak yang terletak di belakang rumahnya. Pendapatanya semakin maju tambahan pula semasa musim perayaan dan juga musim perkahwinan. Kerana Pak Abas telah mendapat pengalaman yang banyak semasa membantu arwah ayahnya dahulu. Kini, Pak Abas telah mendirikan lima buah kilang di daerah dalam negerinya.

  • Mengupah pekerja yang boleh dipercayai
Setelah mempunyai kedudukan yang baik dalam perniagaan yang diceburi, pasti kita ingin meluaskan perniagaan itu. Katakan perniagaan kedai pakaian lelaki dan wanita. membuka cawangan baru memerlukan lebih ramai perkerja untuk menguruskannya. Maka, kita perlu mengupah orang yang boleh dipercayai untuk memastikan perniagaan yang diusahakan selama ini tidak dirosakkan mana-mana pihak yang cuba menjatuhkan kita. Mungkin kita boleh mengupah jiran yang telah lama kita kenali sebelum memulakan perniagaan itu atau juga mengupah kawan-kawan yang sudah kita maklum dengan hati budi mereka. Jika tidak, perniagaan kita akan musnah berikutan ada pihak yang iri hati dengan kesenangan dan kemewahan yang kita capai. Oleh sebab itu, kita perlu menjalin perhubungan yang baik dan tidak bermusuh dengan semua orang agar kita juga selamat dan perniagaan kita terus maju.

  • Mempunyai strategi yang berkesan
Selain itu, untuk memastikan sesebuah perniagaan itu berjaya, kita juga perlu mempunyai strategi yang berkesan. Bukan sahaja perniagaan, setiap pekerjaan yang dilakukan juga memerlukan perancangan yang sempurna. Jika tidak impian itu akan musnah di pertengahan jalan. Contohnya memulakan perniagaan dalam bidang ubat-ubatan dan farmasi. Dalam dunia yang serba canggih dan maju ini, kita sering dihantui dan dibayangi dengan pelbagai wabak penyakit yang disebabkan penyalahgunaan bahan kimia industri, wabak penyakit yang disebabkan bahan kimi berlebihan dalam bekalan makanan seperti sayur dan wabak penyakit berjangkit yang mudah disebarkan melalui migrasi manusia atau haiwan. Wabak penyakit berbahaya memang sukar untuk diubati, tetapi kita masih mempunyai peluang untuk mencegahnya. Maka, perniagaan dalam bidang ubat-ubatan dan farmasi sentiasa mendapat sambutan yang baik kerana kita tidak mampu menjangka saat kita akan ditimpa penyakit. Perniagaan ini adalah perniagaan yang mampu memberi keuntungan kepada pengusaha. Masyarakat hari ini juga semakin bijak untuk menentukan ubat yang berkesan bagi penghalang penyakit merebak.

  • Mendengar dan mengikuti kemahuan pelanggan
Pihak yang akan menentukan jatuh bangun sesebuah perniagaan itu adalah pelanggan dan orang ramai. Maka, hasrat dan kemahuan mereka perlu diambil kira dan tidak boleh dipandang ringan. Jika tidak, pelanggan akan lari dan kita yang akan mengalami kerugian kerana gagal memenuhi kehendak mereka. Contoh yang paling rapat dengan masyarakat adalah perniagaan francais iaitu McDonalds, yang berjaya meluaskan perniagaan ke serata dunia. McDonalds di India telah menyediakan menu khas bagi penduduk India dengan menyediakan burger ayam. Mereka telah tampil dengan Chicken Maharaja Mac, kerana meraka tidak boleh memakan daging. Selain itu, di Itali pula, mereka telah menyediakan burger yang disajikan dengan daging khinzir. Di Norway pula, burger telah disajikan dengan kepingan daging ikan salmon yang menjadi kegemaran penduduknya. Manakala di Thailand, ia juga disajikan dengan memasukkan perisa tomyam yang disesuaikan dengan selera pelanggan. Tidak kurang hebat juga dengan McDonalds di Malaysia.

  • Bersedia untuk memulakan perniagaan yang besar
Perniagaan yang semakin maju menjadi idaman semua usahawan. Tetapi adakah kita sudah bersedia untuk memulakan perniagaan ke peringkat yang seterusnya? Kejayaan kita mampu diukur setelah kita melihat dan merasakan sambutan yang diterima ramai orang. Katakan dulu Iqbal hanya menjual laksa dengan menaiki motorsikal sahaja. Selepas 5 tahun bersusah-payah, dia telah mengumpul wang yang banyak dan membuka sebuah kedai laksa bersama adik lelakinya. Memang cita-cita Iqbal untuk membuka sebuah kedai laksa daripada resipi arwah ibunya. Dia telah bersedia dengan sepenuhnya. Dengan pembukaan kedai baru itu, Iqbal menjadi semakin bersemangat untuk bekerja dan juga untuk merubah masa depannya. Semakin hari, perniagaannya semakin maju. Kerana Iqbal sudah mempunyai pelanggan tetap selama 5 tahun sepanjang dia berniaga menaiki motorsikal roda tiga.

Secara kesimpulannya, tips ini perlu diamalkan agar perniagaan yang kita ceburi itu menampakkan hasil dengan titik peluh yang dikorbankan. Kegagalan dan jatuh bangun dalam perniagaan adalah lumrah dan kita perlu bersedia dengan semua kemungkinan yang bakal tiba. Sekali jatuh bukan bermakna kita akan jatuh selamanya. Jadikan perkara ini sebagai pembakar semangat.

LinkWithin