Tuesday, May 13, 2014

YOGURD DAN KEKACANG MEMBANTU MENCEGAH PENYAKIT MERBAHAYA


Pengambilan makanan seimbang lebih mudah diucap daripada diamalkan terutama dalam kalangan warga kota yang sibuk. Namun, ia amat disarankan untuk memastikan diri sihat dan bebas daripada menghidap pelbagai penyakit berbahaya. Pemakanan seimbang membantu me­ngurangkan risiko kanser, serangan jantung, angin ahmar, tekanan darah tinggi, lebihan kolesterol serta osteoporosis. Terdapat beberapa makanan yang boleh membantu mengurangkan risiko menghidap penyakit berbahaya berkenaan antaranya:


1. Yogurt rendah lemak


Ia mengandungi probiotik (bakteria baik) yang memperbaiki kesihatan usus dan secara tidak langsung mengurangkan risiko kanser usus. Kandungan bakteria asidofilus merangsang pertumbuhan bakteria baik dalam usus yang menyah aktif bahan berbahaya seperti nitrat dan nitrit yang boleh menjadi racun. Ia juga kaya dengan kalsium. Secara purata secawan yogurt boleh membekalkan 448 miligram kalsium. Ia dapat menampung keperluan kalsium harian wanita untuk mengelak masalah osteoporosis (reput tulang) terutama selepas menopaus. 


2 . Ikan berlemak (salmon, kembung, sardin, kod dan tuna) 


Kaya dengan asid lemak seperti omega-3, asid dokosaheksaenoik (DHA) dan asid eicosa pentanoic (EPA) yang berperanan dalam kesihatan dan fungsi membran setiap sel. 


3 . Kekacang


Sumber protein dan serat selain mengandungi karbohidrat, vitamin dan mineral. Kekacang mempunyai bahan penting dipanggil isoflavonoid yang bertugas mengawal paras hormon dalam badan dan membantu mengurangkan gejala sindrom sebelum haid (PMS). Bahan fotokimia (seperti saponin) dalam kekacang membantu melindungi sel daripada kerosakan yang boleh menyebab­kan kanser. Saponin didapati berupaya membantu merencatkan pertumbuhan sel kanser serta mengurangkan risiko kanser. Kandungan seratnya yang tinggi melindungi daripada kanser usus dan ia mengurangkan paras kolesterol serta menjadi pilihan terbaik untuk mengurangkan berat badan. 


4. Buah-buahan beri


Semua buah-buahan daripada keluarga beri seperti strawberi, beri biru dan beri hitam kaya dengan bahan antikanser, asantosian yang berfungsi membantu memperbaiki kerosakan sel. Malah, ia kaya dengan vitamin C dan asid folik yang bertindak sebagai antioksidan bagi melindungi sel. 


5. Vitamin D


Sumber utama vitamin D ialah cahaya matahari dan makanan. Hanya makanan tertentu mengandungi vitamin D seperti ikan berlemak, minyak ikan, telur, bijirin sarapan dan sedikit dalam daging serta keju. Kajian mendapati vitamin D mampu mengurangkan risiko kanser usus dan rektum, payudara, prostat, ovari serta ketumbuhan otak. Ia juga dapat membantu penyerapan kalsium untuk kesihatan tulang. 


6. Tomato dan buah-buahan berwarna oren


Mengandungi bahan yang dipanggil likopen yang membantu melindungi wanita daripada kanser payudara. Buah-buahan ini kaya dengan antioksidan dan me­ngurangkan kerosakan sel akibat tindakan radikal bebas. 


1 comment:

Anda Suka Dengan Article Ini!
Apa Lagi Kongsikanlah Bersama Rakan-Rakan Anda
Di Email, Twitter, Facebook, Google +G !
Jangan Lupa Ya :P

LinkWithin